Assalamualaikum salam Ramadhan hari yang ke 9 warga muslimin muslimat sekelian. Baru perasan rupanya Blog azsana ni lahir dalam bulan berkah ni, bulan Ramadhan al Mubarak.. Moga-moga perjalanan blog azsana diberkati juga, In sha Allah... ^_^
Tak tahula kenapa, tapi hari ini rasa sangat CERIA... Hati berbunga-bunga.. Ni yang nak share artikel dari blog kegemaran saya genta-rasa.com yang bertajuk MULAKAN DENGAN CERIA...
♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥
Percayalah, orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah (habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas), semuanya dibuat dengan gembira .
Ceria yang dimaksudkan di sini bukanlah terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak, tetapi rasa senang, tenang, rasa bebas dan lapang di dalam hati.
Tidak percaya? Cuba imbau kembali hasil kerja kita yang dirasakan paling berkualiti, sama ada tulisan, masakan, lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat semula bagaimana hati kita sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu mesti hati kita dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu kerja yang baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.
Aliran kegembiraan akan mengukir mutu yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah yang dimaksudkan ‘air tangan’ dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah aliran keceriaan yang mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan sahaja kerja malah wajah kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata bijak pandai, “jika hati baik, wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu ciri hati yang baik, adalah ceria!
Kata pakar-pakar psikologi dan motivasi, sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun daripada tidur akan menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan hendaknya fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk, jahat dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.
Sebagai seorang Islam, kita seharusnya tidak ada masalah untuk merasa ceria sebaik sahaja bangun daripada tidur. Caranya? Hitung kesyukuran, jangan hitung kesukaran. Islam hakikatnya sudah lama mendidik umatnya agar melihat sisi yang baik-baik, indah-indah dan cantik-cantik sebaik sahaja bangun daripada tidur. Justeru, kita dianjurkan untuk melafazkan doa kesyukuran ini sebaik sahaja bangun daripada tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kematian kami dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.”
Ya, pertama dan utama, kita mesti bersyukur atas nikmat hidup yang masih dikurniakan Allah. Cuba kenangkan betapa ramai orang yang pada malam sebelumnya tidur, kemudian tidak bangun-bangun lagi pada hari esoknya kerana telah ‘dijemput’ kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama sebagai separuh daripada kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada pagi hari, ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh Allah daripada diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula dengan sepenuhnya!
Ukirlah senyuman dan berilah salam kepada orang yang pertama anda temui pada awal setiap pagi. Mungkin orang itu ialah ibu, bapa, suami, isteri atau anak-anak kita. Juga fikirkan yang baik-baik dan bayangkan yang cantik-cantik. Mintalah perlindungan daripada rasa dukacita, takut, malas dan pengecut seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini: “Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia
Untuk itu lihat apa yang ada, jangan dikenang apa yang tiada. Hitung satu persatu ‘kelebihan’ yang sedang kita miliki dan nikmati, insya-Allah kita akan tersentak kerana pasti tidak dapat menghitungnya. Firman Allah: “Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan terhitungnya.”
Ya, tidak dinafikan kita punya masalah, kesedihan, kesakitan, kegagalan… namun itu tidak menghalang kita untuk terus bersyukur. Kelebihan pastinya mengatasi kekurangan. Kesenangan tentunya melebihi kesukaran. Malah di dalam kesukaran itu pun masih ada kesenangan. Itu sudah sunahtullah (peraturan Allah). Itulah yang dijanjikan Allah. Firman Allah:”Sesungguhnya pada kesukaran itu ada kelapangan.”
Namun, mengapa dalam realitinya, dirasakan berbeza? Semua ini gara-gara tersalah memandang hidup. Ingat selalu, yang penting bukan apa yang kita pandang tetapi bagaimana cara kita memandangnya. Apa yang berlaku di dalam diri kita lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita. Pemikiran dan perasaan kita yang negatif menyebabkan kita hanya fokus kepada negatif sekalipun yang negatif itu cuma sekelumit.
Jangan jadi lalat yang mencari dan hinggap hanya pada tempat-tempat yang kotor dan busuk walaupun masih banyak tempat yang bersih dan wangi. Tetapi jadilah lebah yang mencari dan hinggap di tempat yang cantik dan harum. Jadi pandanglah hidup dengan penuh rahmat, nikmat dan indah sejak awal pagi lagi… Insya-Allah, apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat!
♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥ ♥♥♥♥♥♥
Sesungguhnya Pada Kesukaran Itu Ada Kelapangan... In sha Allah. Yang penting bukan apa yang kita pandang, tetapi cara kita memandang sesuatu. ISTIQAMAH!!
No comments:
Post a Comment